BERITA SEMASA

Kerja binaan ECRL dihentikan susulan struktur besi runtuh di MRR2

KUALA LUMPUR – Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Batu Caves dihentikan serta-merta susulan insiden membabitkan struktur sementara temporary steel canopy yang mengenai sebuah kenderaan, semalam.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek memaklumkan, penggantungan kerja itu dibuat sementara menunggu siasatan menyeluruh pihak berkuasa berhubung kejadian kira-kira jam 2 petang melibatkan sebuah Suzuki Swift.

“MRL mengambil maklum insiden melibatkan struktur sementara di Jalan MRR2 FT28 arah Batu Caves. Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, ECRL akan menyalurkan bantuan kewangan segera kepada pemilik kereta berkenaan sementara menunggu keputusan siasatan dan proses tuntutan.

MRL turut memaklumkan agensi penyelamat dan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah berada di lokasi bagi tindakan lanjut.

Kerja pembersihan serta pengalihan struktur turut diselesaikan di bawah seliaan pihak berkuasa.

“ECRL komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memastikan pematuhan langkah keselamatan. Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja projek. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button