
Kerajaan umum dana RM100 juta bantu pemerkasaan ekonomi usahawan komuniti India
SUNGAI BULOH – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi agenda pemerkasaan ekonomi usahawan komuniti India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peruntukan terbaharu menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) itu merupakan yang terbesar pernah diperuntukkan sejak Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) diperkenalkan pada 2008.
“Jika sebelum ini kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta, tapi kali ini ia ditambah sebanyak RM70 juta menggunakan dana dalaman TEKUN Nasional, menjadikan jumlah keseluruhan dana tersebut sebanyak RM100 juta.
“Ia sekali gus membuktikan visi besar kerajaan MADANI menerusi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan ekonomi Malaysia khususnya masyarakat kaum India lebih inklusif dan progresif.
“Peruntukan besar ini dijangka membawa manfaat langsung kepada lebih 4,500 usahawan masyarakat India, membuka pintu untuk mereka terus berkembang maju dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar,” katanya ketika merasmikan sambutan pesta Ponggal Vanakam Madani Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kuil Dewi Sri Maha Karumariamman, di sini hari ini.
Dana tersebut akan disalurkan menerusi Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big dan SPUMI, masing-masing memperuntukkan RM50 juta bagi membantu usahawan baharu dan sedia ada.
“Inisiatif ini adalah lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
“Saya yakin dengan dana ini, masyarakat India bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” katanya.
Ramanan kemudiannya menambah, dana tambahan itu diperoleh menerusi dana dalaman TEKUN Nasional yang tidak pernah dimanfaatkan oleh kerajaan terdahulu.
“Perkara ini membuktikan kerajaan Madani adalah kerajaan ‘walk the talk’ dalam memastikan tiada mana-mana golongan ketinggalan dalam arus ekonomi negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








