Kerajaan negeri ganti jeriji, pemegang tangga PPR Desa Mutiara
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menukar kesemua jeriji penghadang dan pemegang besi tangga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini susulan kejadian kanak-kanak berusia 9 tahun terjatuh sehingga mengalami kecederaan kritikal, kelmarin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor, inisiatif tersebut melibatkan 2,000 unit jeriji penghadang dengan kos sehingga RM3 juta, lapor portal KOSMO.
“PPR Desa Mutiara ini merupakan antara PPR tertua di Johor, ia siap dibina sejak 19 tahun lalu. Sehubungan itu tidak dinafikan beberapa infrastrukturnya sudah berusia, selain turut rosak disebabkan vandalisme.
“Susulan itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah mengeluarkan peruntukan khas bagi menggantikan bukan sahaja jeriji penghadang, tetapi juga pemegang besi tangga,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Taman Desa Mutiara, hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, pihaknya juga akan membuat penilaian keselamatan terhadap kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan kediaman Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini khususnya yang telah berusia lebih 15 tahun.
Dalam kejadian kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun difahamkan terjatuh menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala.
Mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah difahamkan sudah semakin stabil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








