Kehadiran PM bukti komitmen pembangunan Sabah
KOTA KINABALU – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kota Kinabalu semalam menjadi bukti usaha berterusan kerajaan memperkukuh pembangunan Sabah, kata Calon DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin.
Chan berkata, lawatan Perdana Menteri itu memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap keperluan rakyat Sabah, khususnya berhubung pembangunan asas, kebajikan masyarakat dan penyelesaian masalah berlarutan di negeri tersebut.
Menurut Chan, komitmen itu turut dizahirkan melalui Belanjawan 2026 yang menyaksikan Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi negara berjumlah RM6.9 bilion.
Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan pusat mengutamakan pembangunan negeri berkenaan.
“Selain itu, Pemberian Khas Sabah juga dinaikkan kepada RM600 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah.
“Malah, isu bekalan elektrik turut diberi perhatian dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion walaupun pengurusan tenaga kini di bawah kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Chan turut menzahirkan penghargaan apabila menerima sokongan dan restu Perdana Menteri terhadap pencalonannya di DUN Tanjung Aru pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata, sokongan itu menguatkan lagi iltizamnya untuk terus berkhidmat demi kebajikan “urang-urang Sabah” dengan penuh amanah, integriti dan komitmen.
“Dengan sokongan rakyat serta kepimpinan yang stabil, Sabah berpotensi melangkah ke masa depan yang lebih makmur dan mampan.
“Apa yang penting adalah kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa,” katanya lagi.
Chan turut menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu memastikan negeri itu terus maju dan Malaysia menjadi lebih kuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








