
Kehadiran 2 kapal tentera laut China ikut protokol, tidak jejas kedaulatan negara – Fahmi
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa kehadiran dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang tidak menjejaskan kedaulatan negara, malah ia mengikut protokol yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, kapal perang dari pelbagai negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, China dan India sering berlabuh di pelabuhan Malaysia dalam perjalanan ke destinasi lain.
Katanya, semua operasi itu dipantau oleh Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan.
“Memang dari semasa ke semasa, kapal perang dari Australia, Amerika Syarikat, China malah dari India akan berlabuh untuk beberapa hari.
“Ketika mereka berlabuh, kedutaan atau wakil asing negara tersebut akan mengadakan beberapa aktiviti untuk mengeratkan hubungan dua hala,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir warganet yang menggunakan sentimen perkauman dan kebencian dalam isu itu sambil menegaskan bahawa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat perkara itu.
“Polis dan MCMC akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu, bukan hanya berkaitan lawatan kapal perang itu tetapi juga dalam hal-hal lain,” katanya lagi.
Fahmi turut berkata, kehadiran kapal-kapal tentera asing, termasuk dari China, adalah berdasarkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara berkenaan dan semua prosedur telah dipatuhi.
Sebelum itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kunjungan dua kapal tentera laut China ke Pulau Pinang bersama pelajar Naval University of China, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menyifatkan sambutan yang diberikan terhadap kapal-kapal tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan terdapat dakwaan bahawa aset China menceroboh perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








