Karnival Kempen Internet Selamat peringkat Pahang buka tirai di Raub
RAUB – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, di sini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), seramai 304 pelajar daripada 76 sekolah rendah dan menengah di daerah ini dan Bentong menyertai karnival berkenaan, menjadikan kedua-dua daerah itu antara yang terawal di Pahang melaksanakan program KIS secara menyeluruh.
“Penganjuran kali ini merupakan kesinambungan pelaksanaan program KIS yang sebelum ini telah dijalankan di 419 buah sekolah di seluruh negeri Pahang, dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penggunaan Internet secara selamat dan beretika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut serta memeriahkan karnival ialah mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, pelajar Kolej Komuniti Raub, Majlis Pengakap Negeri Pahang, Komuniti MADANI, penghulu mukim daerah Raub, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Belia Daerah Raub serta pemimpin komuniti setempat.

Katanya, antara pengisian utama program termasuk sesi taklimat kesedaran siber dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas yang dibangunkan bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap amalan penggunaan Internet dengan selamat, beretika dan bertanggungjawab.
“Beberapa agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut membuka reruai pameran bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi aplikasi Internet, risiko ancaman dalam talian serta had umur minimum bagi akaun media sosial.
“Para peserta menunjukkan tahap penglibatan yang tinggi, di samping berjaya memahami asas literasi digital, mengenal pasti risiko buli siber dan pengantunan (grooming), serta mengaplikasikan kaedah penggunaan Internet secara selamat melalui aktiviti permainan interaktif yang disediakan, “katanya.
Sementara itu katanya, program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah dan NADI, dalam memastikan mesej keselamatan siber terus disemai sejak di bangku sekolah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















