Kanak-kanak 9 tahun rentung dalam kebakaran rumah di Sri Aman
KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Sentosa Indah, Sri Aman awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.02 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat enam mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemukan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung di tingkat atas rumah tersebut.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut JBPM Sarawak, seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan melecur pada badan dan telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan.
“Tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita berusia 40 tahun, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun serta remaja lelaki berusia 15 tahun yang melecur pada bahagian kaki dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya lagi.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













