Kadar inflasi negara pada Julai mereda kepada 2 peratus
CYBERJAYA – Kadar inflasi Malaysia pada bulan Julai 2023 terus mereda kepada 2.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada bulan Jun 2023.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi negara sudah mencatatkan penurunan dalam 11 bulan berturut-turut, dan kadar bagi Julai adalah yang terendah dalam setahun, sekaligus mencerminkan trend harga yang semakin stabil secara berterusan.
Beliau berkata, kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang bahagian terbesar perubahan inflasi pada kadar 4.4 peratus.
“Secara positifnya, kadar inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol turun hampir 3.0 peratus daripada 6.8 peratus pada Disember 2022 kepada 4.4 peratus pada Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rafizi seterusnya menambah, pengawalan kadar inflasi merupakan salah satu keutamaan kerajaan dalam memastikan kadar tersebut tidak meningkat secara drastik.
“Kadar inflasi yang tinggi secara berterusan akan mengikis kuasa beli rakyat kerana harga barangan dan perkhidmatan akan naik tetapi pendapatan tidak semestinya naik pada kadar yang sama.
“Ini bermakna rakyat akan berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas mereka, apatah lagi untuk menabung atau membuat pelaburan. Kuasa ekonomi rakyat akan terjejas, membawa kepada potensi ketidakstabilan sosial,” katanya lagi.
Jelasnya, sebagai tindakan proaktif, satu kertas dasar sedang dibangunkan untuk mengkaji dan bertujuan untuk mengurangkan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP).
“Kertas dasar ini dijangka dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tidak lama lagi.
“Dengan mengurangkan atau mengehadkan AP dan IP, kerajaan berharap akan dapat menurunkan harga barang, khususnya barang import,” kata Rafizi lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







