BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ka Siong persoal percanggahan data pengambilan Program Perakaunan UM

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan percanggahan jumlah tempat yang ditawarkan Universiti Malaya (UM) bagi program perakaunan dengan bilangan graduan yang dihasilkan setiap tahun sejak lebih satu dekad lalu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laman web UM, jumlah graduan program berkenaan secara purata adalah sekitar tiga digit setiap tahun sejak 2011 hingga 2024, malah ada yang mencecah hampir 200 orang.

Bagaimanapun katanya, data yang didapati daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang mengawal selia semua universiti, mengatakan UM hanya menawarkan 85 tempat.

“Bagaimana mungkin pengambilannya hanya 85, tetapi jumlah graduan yang keluar jauh lebih ramai, sampai berganda?

“Siapa yang tidak beritahu dengan jujur atau di mana laluan yang hasilkan graduan begitu besar?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, jika benar jumlah pengambilan hanya 85 setiap tahun, maka jumlah keseluruhan pelajar perakaunan UM tidak lebih daripada 340 orang pada satu-satu masa, mengambil kira tempoh kursus empat tahun.

“Di UM, ada 43,000 pengambilan baharu pada 2024, bermaksud tidak sampai satu peratus pun untuk kursus kritikal perakaunan. Apa sudah jadi?” katanya lagi.

Beliau turut mempertikai kenyataan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman yang menafikan pelajar terbabit menerima tawaran bersyarat melalui saluran terbuka UM (SATU) dengan yuran penuh RM83,800.

“Tiada masalah memberikan pratawaran, tetapi bagaimana jika dia tidak layak melalui UPU?

“Bermakna kamu ‘cop’ tempat untuk pelajar bagi saluran komersial dulu. Ini keutamaan kitakah?” soal beliau.

Sementara itu, Ka Siong menolak gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya beliau memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Atas asas apa saya perlu minta maaf? Bagaimana jumlah graduan lebih ramai daripada pengambilan? Tidak mungkin.

“Saya boleh tunjuk data ini tidak ‘tally’. Kamu mahu paksa saya mohon maaf? Tidak akan,” katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman semalam menegaskan prinsip meritokrasi menjadi asas saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dalam menawarkan tempat ke Universiti Awam (UA).

Menurutnya, daripada 2,291 permohonan program perakaunan, seramai 1,127 calon memperoleh merit penuh namun hanya 85 tempat disediakan di UM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button