BERITA SEMASAPOLITIK

MCA sah sertai PRN Johor, jumlah kerusi masih dirunding

KUALA LUMPUR – MCA mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, namun jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti itu masih belum dimuktamad kerana rundingan bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) masih berjalan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penyertaan MCA dalam pilihan raya negeri berkenaan tidak pernah menjadi persoalan, sebaliknya perbincangan ketika ini tertumpu kepada agihan kerusi.

“Kenapa pula MCA tidak bertanding? Kita akan bertanding, namun bukan sikap saya untuk mendahului kerana menghormati pihak yang sedang berunding,” katanya memetik laporan BH Online.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan MCA menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.

Terdahulu, tular di media sosial satu senarai yang didakwa sebagai cadangan calon MCA bagi PRN Johor, melibatkan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dakwaan bahawa Ka Siong akan bertanding di kerusi DUN Skudai.

Antara nama lain yang dikaitkan dalam senarai tersebut ialah Tay Kok Wea di Jementah, Tan Chong (Bekok), Ong Chee Siang (Tangkak) dan Chua Lee Huat (Bentayan).

Turut disebut ialah Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon yang dijangka mempertahankan kerusi Yong Peng yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Mengulas dakwaan beliau bakal bertanding di DUN Skudai, Ka Siong menyifatkan perkara itu sebagai sekadar spekulasi dan enggan mengulas lanjut bagi menghormati proses rundingan yang sedang berlangsung.

“Saya tidak mahu layan. Saya anggap ia sebagai lawak jenaka,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, MCA bertanding di 15 kerusi DUN dan berjaya memenangi empat kerusi iaitu Paloh, Bekok, Pekan Nanas dan Yong Peng

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button