Armizan tempelak Presiden MCA silap rujuk undang-undang
KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali menempelak Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang didakwa tersilap merujuk undang-undang ketika mengulas isu berkaitan kawalan bekalan.
Armizan menjelaskan, dalam sidang media pada 5 Jun lalu, beliau secara jelas merujuk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, bukannya Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652) seperti dinyatakan oleh Ka Siong.
“Undang-undang yang saya sebut ialah PPKB (Pindaan) 2021, tetapi Presiden MCA ulas panjang lebar tentang akta lain. Memang tidak akan jumpa peruntukan yang saya maksudkan kerana saya sebut A, beliau rujuk Z,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dalam nada sinis, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden MCA yang menurutnya kini lebih prihatin terhadap isu rakyat berbanding sewaktu memegang jawatan dalam kerajaan dahulu.
“Kalaulah beliau secekap ini ketika menjadi menteri dulu, mungkin bantahan terhadap pindaan ini sudah dibangkitkan pada tahun 2021, bukan sekarang,” katanya lagi.
Menurut beliau, PPKB (Pindaan) 2021 telah digubal oleh KPDNHEP ketika itu dan mula berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021 serta diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan.
Armizan berkata, beliau tidak kisah sekiranya Ka Siong mahu menuduh beliau berbohong, namun menyeru supaya tidak mengelirukan rakyat dengan merujuk kepada undang-undang yang tidak disebut.
“Ya, saya memang Ahli Parlimen penggal pertama dan beliau sudah berpenggal-penggal di Dewan Rakyat serta pernah menjadi anggota pentadbiran.
“Tapi dalam ceteknya pengalaman saya, saya masih rujuk kepada punca kuasa undang-undang yang betul.
“Menuduh saya merujuk peruntukan yang tidak wujud tidak menggambarkan kebijaksanaan beliau yang saya kenali sebelum ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








