BERITA SEMASADALAM NEGERI

JKR lancar program pembersihan perparitan hadapi Monsun Timur Laut

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kerja Raya (JKR) melancarkan Program Perdana Pembersihan Sistem Perparitan Jalan Persekutuan di seluruh negara sebagai persedian Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa sehingga tujuh episod hujan lebat.

Dalam satu kenyataan, JKR memaklumkan, pelaksanaan itu merupakan langkah proaktif dalam memastikan sistem perparitan di sepanjang Jalan Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi pada tahap optimum, sekali gus mengelakkan takungan air dan kerosakan infrastruktur.

“Program tersebut juga menjadi sebahagian strategi pencegahan JKR yang menekankan keperluan pencegahan awal sebelum berlaku kerosakan serius, bagi menjamin penjimatan kos jangka panjang serta mempercepatkan tindakan pemulihan sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Terdahulu, Majlis peluncuran program itu disempurnakan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Roslan Ismail, di Kuala Terengganu hari ini, membabitkan penyertaan Cawangan Ibu Pejabat JKR Malaysia serta JKR negeri dan daerah di seluruh negara.

Pada 10 November 2025, Jabatan Meteorologi Malaysia mengumumkan MTL akan bermula 13 November 2025 dan berterusan sehingga Mac 2026, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, JKR berharap inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyenggaraan infrastruktur jalan raya, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan JKR menghadapi cabaran MTL.

“Usaha ini turut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button