BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Jimat bil elektrik: 128,868 pengguna beralih kepada skim ToU

KUALA LUMPUR – Peralihan rakyat kepada skim Time of Use (ToU) semakin menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 128,868 pengguna telah menyertainya sehingga Februari lalu, mencerminkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang lebih efisien.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada skim ToU sebagai langkah praktikal untuk menjimatkan bil elektrik serta memperkukuh kecekapan penggunaan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global.

“Skim ToU memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik yang lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membolehkan penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PETRA, pendekatan penggunaan tenaga secara lebih bijak melalui skim berkenaan memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membantu penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian.

“Waktu puncak (peak hours) melibatkan tempoh permintaan elektrik tinggi, lazimnya pada waktu siang hingga malam (mulai pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam pada hari bekerja), dengan kadar tarif yang lebih tinggi.

“Manakala waktu luar puncak melibatkan tempoh permintaan rendah seperti waktu malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum menawarkan kadar tarif lebih rendah,” tambah kenyataan itu.

Melalui skim ToU, pengguna boleh mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan penyaman udara, mesin basuh, pemanas air serta pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan,” katanya.

PETRA menambah, kerajaan melihat skim ToU sebagai antara inisiatif penting dalam membantu rakyat mengawal dan mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap serta mengurangkan beban permintaan elektrik semasa waktu puncak.

“Orang ramai digalakkan mempertimbangkan migrasi ke Skim ToU bagi memanfaatkan struktur tarif lebih fleksibel serta menjadikan penggunaan tenaga sebagai amalan harian yang lebih bijak,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button