BERITA SEMASA

Abang Jo umum Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM12.9 bilion

KUCHING – Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini mengumumkan Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM12.9 bilion merangkumi RM7.3 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM5.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Bertemakan “Memperkasa Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan”, belanjawan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Belanjawan berkenaan juga akan memperkukuh kesejahteraan sosial dan mempercepat pembangunan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), lapor BERNAMA.

“Dengan unjuran perolehan sebanyak RM13.05 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.91 bilion, Belanjawan Sarawak 2026 dijangka menghasilkan lebihan sebanyak RM144 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Abang Johari berkata, sejumlah RM6.1 bilion atau 66 peratus daripada keseluruhan belanjawan pembangunan akan diperuntukkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar termasuk jalan raya, utiliti dan projek sosioekonomi.

Agihan peruntukan berkenaan meliputi RM350 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar; RM315 juta untuk Agensi Pembangunan Wilayah; RM267 juta untuk Program Projek Khas dan RM100 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat.

“Belanjawan ini terus memberi keutamaan kepada program berimpak tinggi yang akan mengukuhkan ketahanan ekonomi jangka panjang Sarawak,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan mengurus adalah bagi menampung komitmen pentadbiran negeri yang merangkumi RM1.4 bilion untuk emolumen kakitangan, RM2.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.8 bilion untuk geran dan bayaran tetap, RM99 juta untuk perolehan aset dan RM150 juta untuk keperluan operasi lain.

Abang Johari berkata, Sarawak kekal komited kepada ketelusan serta disiplin fiskal sambil memastikan pembangunan terus sampai ke setiap wilayah terutamanya kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau menambah, negeri ini akan terus mempelbagaikan sumber hasilnya selain memperkukuh sektor strategik sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan lestari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button