JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga penjenayah geng ‘Kapten Praba’ tiba di KLIA, kawalan keselamatan tahap tertinggi

KUALA LUMPUR – Tiga individu berprofil tinggi yang dikenal pasti sebagai orang kanan geng ‘Kapten Praba’ tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini selepas diekstradisi dari Mumbai, India dalam kawalan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketiga-tiga penjenayah yang ditahan di Mumbai, Ahad lalu, diterbangkan menggunakan pesawat komersial dan tiba sekitar pukul 7 pagi dengan kawalan keselamatan tahap tertinggi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan, sebelum dibawa masuk ke negara ini di bawah pengawasan ketat pihak berkuasa.

Sebaik tiba di KLIA, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi proses dokumentasi, sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Difahamkan, ketiga-tiga individu terbabit disenaraikan sebagai Orang Paling Dikehendaki dalam Notis Merah (Red Notice) Polis Antarabangsa (INTERPOL) sekali gus memerlukan tahap kawalan keselamatan maksimum susulan risiko ancaman yang wujud.

Terdahulu, mereka yang berusia lingkungan 30-an ditahan oleh pasukan keselamatan India di CSMIA selepas bertindak agresif sebaik tiba di Mumbai, susulan pengusiran mereka dari United Kingdom (UK).

Ketiga-tiga individu itu ditolak masuk oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester selepas status mereka sebagai ‘penjenayah berprofil tinggi’ dikenal pasti, sebelum dihantar semula ke lokasi penerbangan terakhir iaitu Mumbai selaras dengan protokol antarabangsa.

Apabila pesawat dari Manchester mendarat di Mumbai, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai menyedari mereka akan ditahan, lalu bertindak ganas terhadap anggota keselamatan dalam cubaan meloloskan diri.

Tindakan nekad itu dipercayai berpunca daripada tekanan dan ketakutan terhadap implikasi penahanan serta penyerahan mereka kepada pihak berkuasa Malaysia.

Mereka dikenal pasti sebagai sasaran utama dalam ‘Ops Jack Sparrow’ operasi besar-besaran yang dilancarkan PDRM pada September tahun lalu yang menyaksikan penahanan 17 ahli kumpulan kongsi gelap di beberapa negeri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan, operasi bersepadu JSJ Bukit Aman pada 11 September itu melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang diketuai individu yang digelar ‘Kapten Praba’.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan dan khianat dengan api.

Siasatan awal mendapati tindakan terhadap kumpulan itu bermula susulan serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang awal tahun lalu, selain dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields serta beberapa kes jenayah terancang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button