BERITA SEMASA

Jemaah Malaysia meninggal dunia selepas rebah di Dataran Masjidilharam

MEKAH – Seorang jemaah haji warga Malaysia meninggal dunia selepas rebah ketika hendak menunaikan solat Jumaat di dataran Masjidilharam di sini semalam.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, jemaah lelaki berusia 65 tahun dari Pahang itu, disahkan meninggal dunia pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia) akibat komplikasi jantung, lapor BERNAMA.

Mohd Hisham berkata, Allahyarham yang hadir ke tanah suci bersama isterinya berada di kawasan dataran Masjidil haram bagi menunaikan solat Jumaat, sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Rawatan awal termasuk bantuan pernafasan diberikan di lokasi kejadian, sebelum beliau dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia di pusat rawatan berkenaan,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, segala urusan pengurusan jenazah Allahyarham diuruskan sepenuhnya oleh Tabung Haji, termasuk membawa jenazah ke Masjidilharam untuk disolatkan selepas Maghrib dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, di sini.

Mohd Hisham berkata, petugas unit kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadat haji turut menziarahi isteri Allahyarham bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya.

“Pihak TH juga akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham serta majlis bacaan tahlil bersama jemaah haji lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button