BERITA SEMASA

Jangan hina penjawat awam – Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengeluarkan amaran tegas kepada semua Ahli Parlimen, sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, supaya tidak menghina penjawat awam.

Teguran itu dibuat susulan kekecohan yang tercetus ketika Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyampaikan Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat, hari ini.

“Anda boleh komen tentang ahli politik. Jangan sebut, jangan kutuk, kamu nak tanya menteri, tidak puas hati itu lain… Jangan hina penjawat awam. Anda mahu saya tunjuk apa dihantar kepada saya, jangan cabar saya.

“Ada orang kutuk KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan macam-macam lagi, saya nak ingatkan,” katanya sambil mengingatkan Ahli Parlimen boleh mengemukakan soalan ketika Tengku Zafrul membuat penggulungan di peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada keesokan harinya.

“Saya dah kata tak ada celahan, mungkin Machang (Wan Ahmad Fayshal) datang lewat, datang awal lain kali. Saya kata esok (boleh kemuka soalan), esok nak cakap, cakaplah,” kata beliau.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) membangkitkan peraturan Dewan dengan mendakwa Tengku Zafrul memfitnah apabila menyebut kecewa kerana ada Ahli Parlimen yang memperlekehkan usaha dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus berunding bagi merealisasikan perjanjian dengan AS.

Situasi bertambah kecoh apabila beberapa pembangkang antaranya Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mempersoalkan arahan Johari yang meminta Wan Ahmad Fayshal duduk dan tidak membangkitkan isu tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button