‘Jangan desak terlalu keras’ – Wan Saiful
PETALING JAYA – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberi amaran akan membuat lebih banyak “pendedahan” sekiranya kepimpinan terus menekannya.
Beliau yang sebelum ini lantang menyerang Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau akan mendedahkan pemimpin parti yang berhubung dengan ‘pihak lawan’, lapor Mkini.
“Kita tahu siapa yang terima berjuta-juta (daripada mereka). Tetapi kita belum dedahkan mereka setakat ini. Jadi jangan desak terlalu keras,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu selepas menghadiri sesi pendengaran disiplin parti, hari ini.
Beliau turut membuat dakwaan pernah didekati dengan tawaran untuk berpaling tadah, dan beliau sudah menyerahkan butiran itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, termasuk rakaman video serta audio, gambar, dan nombor telefon.
“Kalau saya hendak terima tawaran daripada individu itu, saya sudah buat sejak tahun lepas,” katanya, sambil menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana sayangkan BERSATU.
Mengulas mengenai sesi pendengaran disiplin hari ini, Wan Saiful berkata ia berlangsung secara ringkas, di mana beliau menjawab tuduhan terhadapnya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







