Jaguh sukan badminton, renang negara lancar kad koleksi emas
KUALA LUMPUR – Jaguh sukan negara, pasangan beregu campuran badminton Goh Soon Huat bersama Shevon Lai dan perenang Olimpik negara, Welson Sim melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan kad koleksi emas tulen edisi terhad.
Kad koleksi itu dikeluarkan oleh theCOVER Asia dengan kerjasama Click Entertainment sebagai inisiatif untuk memaparkan detik penting perjalanan kerjaya setiap atlet selain membawa nilai simbolik terhadap nilai perjuangan dan ketabahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Click Entertainment Sdn. Bhd, Tan Yin Loo berkata, kad koleksi emas tulen 999 seberat 0.25 gram itu melambangkan ‘memori emas’ untuk diabadikan peminat dan juga pengumpul kepingan emas untuk tujuan pelaburan.
“Kad ini dijual pada harga asal RM360, manakala harga pra-tempah awal adalah RM299 sementara stok masih ada.
“Ini adalah peluang terbaik untuk para peminat wira dan wirati negara memiliki kad koleksi emas yang pertama seumpamanya,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Pasangan beregu campuran dunia kelompok 10 terbaik yang juga pasangan suami isteri, Soon Huat dan Shevon menyifatkan pelancaran kad emas itu sebagai satu pengalaman unik dan penuh bermakna, khususnya dalam menghargai sokongan peminat yang sentiasa berada di belakang mereka.
Soon Huat berkata, sokongan berterusan peminat adalah sumber motivasi utama sepanjang kerjaya profesionalnya.
“Menjadi atlet memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan mental, bukan sahaja di gelanggang tetapi juga di luar. Kad koleksi emas ini sudah tentu memberi makna dan nilai yang cukup berharga kepada kami dan juga peminat,” katanya.

Shevon pula menyifatkan pemilikan kad koleksi emas itu sebagai cerminan perjalanan yang mencabar batasan kemampuan diri.
“Kepingan emas adalah ‘token’ yang bukan hanya diukur melalui nilai tetapi perjalanan untuk memilikinya,” katanya yang menjuarai empat kali BWF World Tour Titles di Jerman, Singapura, Switzerland dan Malaysia.
Sementara itu, Welson Sim yang dikenali sebagai ‘Putera Ikan Terbang’ Malaysia pula menyifatkan emas sebagai simbol kesabaran, ketekunan dan komitmen berterusan.
Atlet Olimpik yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, 200 meter, 400 meter dan 800 meter gaya bebas itu berharap pemegang kad koleksi itu dapat menghargai makna di sebaliknya.
“Emas memerlukan masa untuk dibentuk, sama seperti perjalanan seorang atlet,” kata pemenang dua pingat emas dalam Sukan SEA tahun 2015 dan 2017.
Dalam perkembangan lain, Soon Huat dan Shevon kini memberi tumpuan kepada persiapan musim baharu selepas menyertai BWF World Tour Finals 2025 di Hangzhou, dengan sasaran untuk menampilkan prestasi lebih cemerlang pada Kejohanan Badminton Asia 2026.
Welson pula menyifatkan tahun 2026 sebagai fasa penting dalam kariernya dan bertekad untuk terus memecahkan rekod peribadi selain memberi inspirasi kepada generasi muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








