Isu roboh kuil di Rawang berpunca daripada pencerobohan tanah, bukan sentimen kaum – polis
KAJANG – Polis menegaskan tindakan merobohkan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di Rawang tidak harus dipolitikkan atau ditafsir sebagai isu perkauman dan keagamaan, sebaliknya berkait rapat dengan status pencerobohan tanah serta kegagalan pihak terlibat mematuhi arahan pengosongan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati perkara tersebut bersifat jelas dan tidak melibatkan unsur perkauman, walaupun struktur yang terlibat merupakan rumah ibadat.
“Isu ini sebenarnya ‘straight forward’. Ia tidak wajar dijadikan isu perkauman atau keagamaan kerana perkara sebenar adalah berkaitan pencerobohan dan keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan masih berjalan dan pihak polis mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang rumusan bagi mengelakkan salah tafsir atau persepsi negatif terhadap mana-mana pihak.
“Pada peringkat ini, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi terhadap mana-mana pihak sama ada pemilik tanah mahupun pihak pengurusan kuil,” ujarnya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan individu yang sebelum ini ditahan berhubung insiden tersebut telah dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang.
“Polis menghormati dan mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun ditahan pada Rabu lalu kerana disyaki merobohkan kuil berkenaan tanpa pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah jengkaut yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, perintah reman dua hari terhadap kesemua suspek dibatalkan dan mereka dibebaskan serta-merta.
Shazeli turut menggesa media dan orang ramai agar membantu meredakan keadaan dengan menyebarkan maklumat yang sahih demi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








