Isu tapak parkir rumah ibadat berkait penggunaan tanah, tiada kaitan sentimen agama
CYBERJAYA – Isu kawasan tanah dijadikan tapak parkir sebuah rumah ibadat di Rawang bukan isu agama tetapi berkenaan penggunaan tanah kerajaan tanpa kebenaran serta hak penduduk yang terjejas.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dalam hantaran di Facebook, hari ini.
“Masih ingat kebakaran yang memusnahkan rumah lama di Pekan Rawang? Rumah kampung tersebut sebelum ini merupakan tapak rumah kampung milik seorang penjaja ais buah yang berniaga di Jalan Maxwell.
“Beberapa bulan lalu, rumah tersebut musnah dalam satu kebakaran.
“(Bagaimanapun)… ketika keluarga tersebut masih belum mampu membina semula rumah mereka, terdapat pihak yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran, merobohkan sisa tapak rumah, membersihkan kawasan berkenaan dan memagarnya untuk dijadikan kawasan parkir sebuah rumah ibadat,” katanya dalam hantaran itu.
Wei Kiat berkata, beliau bertanggungjawab memastikan kepentingan awam sentiasa dipelihara dan juga bertanggungjawab untuk membela suara penduduk yang merasakan diri mereka dizalimi atau tidak didengari.
“Baru-baru ini, saya bersama pihak polis, Majlis Perbandaran (Selayang), ketua kampung dan Pejabat Tanah telah turun padang untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan serta proses penyelarasan.
“Hasil perbincangan dan rundingan, semua telah mencapai persetujuan bahawa pagar tersebut akan dirobohkan mengikut undang-undang selepas program pada 6 Julai selesai,” katanya lagi.
Beliau seterusnya berkata, status dan keutamaan tanah ditentukan oleh rekod rasmi tanah manakala tindakan yang diambil sama ada sah atau tidak pula akan ditentukan oleh pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
“Dari awal lagi, apa yang saya perjuangkan bukan soal siapa menang atau siapa kalah, dan bukan juga soal siapa lebih berpengaruh. Yang saya utamakan ialah sama ada hak penduduk dihormati dan kepentingan awam dilindungi.
“Ini kerana sehingga hari ini, tanah tersebut masih merupakan tanah kerajaan. Tidak kira siapa pihak yang terlibat atau apa alasan yang diberikan, peraturan tetap perlu dipatuhi,” katanya lagi.
Beliau menambah, terdapat cubaan pihak tertentu yang cuba memutarbelit fakta dan mengalihkan fokus daripada isu sebenar, iaitu penggunaan tanah kerajaan tanpa kebenaran kepada perkara-perkara lain.
“Masyarakat berhak mempunyai pandangan yang berbeza, namun perbezaan pandangan tidak seharusnya dibina atas fakta yang diputarbelitkan.
“Namun dalam kes ini, isu yang dibangkitkan adalah berkenaan penggunaan tanah kerajaan tanpa kebenaran serta hak penduduk yang terjejas.
“Jangan jadikan isu penguatkuasaan dan hak milik tanah sebagai isu agama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















