BERITA SEMASA

Bukan roboh tapi hanya pindah sementara – jelas pemilik Rumah Biru

KUALA LUMPUR – Pemilik ‘Rumah Biru’ yang terkenal kerana masih mengekalkan keaslian seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru menjelaskan kediamannya tidak akan dirobohkan.

Salah seorang pemiliknya, Shafiq Abdullah berkata, sebaliknya mereka hanya diminta berpindah sementara bagi tujuan memudahkan projek pembongkaran semula palong yang ditanam di bawah tanah rumah berkenaan.

“Rumah kami ini. Insya-Allah tidak dirobohkan ya. Sebab kami diminta keluar bagi memudahkan projek yang akan berlangsung nanti.

“Dan sekiranya apa-apa berlaku di masa hadapan. Insya-Allah pemaju akan baik pulih seperti sediakala.

“Sama-samalah kita doa semoga selepas tamat projek ini kami boleh pulang ke kampung halaman kami ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Setakat ini, Shafiq berkata projek yang dianggarkan mengambil masa empat tahun itu masih belum dimulakan.

Dalam pada itu, Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang prihatin dan risau berhubung keadaan rumah tersebut.

“Dan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi moment, cerita dan ambil peduli tanah kampung ini. Saya sebagai wakil pewaris ucapkan terima kasih daun keladi. Panjang umur kita jumpa lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Shafiq menerusi satu hantaran di Facebook mengumumkan telah berpindah keluar dari rumah tersebut untuk memberi laluan kepada projek dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, dia berkata perpindahan tersebut hanyalah buat sementara waktu iaitu selama tiga atau empat tahun.

Susulan itu, sebahagian warga netizen menzahirkan rasa risau terhadap keadaan rumah berkenaan sekiranya ia akan dirobohkan akibat projek tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button