Isu Glamping with Pride: JAIS, PDRM bekerjasama pantau program tidak diteruskan
PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dan memantau rapat dalam usaha memastikan program ‘Glamping with Pride’ yang dijadualkan Sabtu ini tidak diteruskan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
“Betul. Pihak JAIS akan ambil tindakan susulan bersama dengan pihak PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Program Amanat Tahun Baharu 2026 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tindakan yang diambil susulan terdapat laporan mengatakan program berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) itu akan tetap diteruskan meskipun menerima bantahan.
Turut hadir Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Terdahulu, media melaporkan program Glamping with Pride yang dikaitkan dengan di Hulu Langat akan diteruskan Sabtu ini meskipun menerima bantahan daripada pelbagai pihak.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz bertindak menggesa pengusaha chalet dan resort untuk tidak membuka pintu kepada penganjuran program tersebut.
Dalam pada itu, Zulkifli menasihatkan orang ramai agar memberi tumpuan kepada perkara yang lebih konstruktif dan tidak membiarkan isu-isu kecil menghalang usaha memajukan masyarakat.
“Peranan hal ehwal agama adalah untuk memberi pencerahan, membina kecerdasan dan membentuk pemikiran masyarakat yang lebih dinamik dan progresif, di samping meneruskan usaha mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








