BERITA SEMASA

Isu bantuan sekolah diputarbelit, MB Selangor beri penjelasan

SHAH ALAM – Dakwaan kononnya kerajaan negeri menggadaikan tanah bagi pembinaan sekolah Cina serta membuat keputusan baharu mengiktiraf Sijil Pemeriksaan Bersama (UEC) tidak benar.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, isu berkenaan sengaja diputarbelit pihak tertentu selepas kunjungan hormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ke pejabat beliau pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, keputusan meluluskan tanah kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa, Klang telah dibuat pada 7 Julai 2023 selepas sekolah tersebut tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang kian bertambah.

“Pada masa sama, tanah turut diluluskan kepada Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak atas alasan sama. Malah, bantuan RM300,000 juga diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands untuk membina asrama pelajar,” jelas kenyataan itu lagi.

Berhubung isu pengiktirafan UEC, kerajaan negeri menegaskan ia bukan keputusan baharu sebaliknya telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Oktober 2015.

Kenyataan itu turut menolak persepsi seolah-olah kerajaan negeri hanya mula menyalurkan peruntukan kepada sekolah persendirian Cina ketika ini, sedangkan bantuan pendidikan kepada pelbagai aliran sekolah di Selangor telah bermula sejak 2009.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM244.124 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

“Bantuan ini harus dilihat daripada aspek pendidikan, bukannya dijadikan bahan untuk menimbulkan syak wasangka atau memecahbelahkan masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button