BERITA SEMASA

Isteri pengacara Akbar Sahari meninggal dunia akibat kanser

KUALA LUMPUR – Isteri pengacara dan pengulas sukan, Akbar Sahari menghembuskan nafas terakhir hari ini selepas sekian lama berjuang melawan penyakit kanser.

Khabar duka itu dikongsikan hos terkenal, Ahmad Fedtri Yahya menerusi satu hantaran di Instagram pagi tadi.

“Berita sedih pagi ini. Dapat berita Noorsuzilawati Mohd Noor, isteri kepada sahabat saya, Akbar Sahari telah pergi buat selamanya.

“Lama berjuang dengan kanser, sebak melihat perjuangan keluarga ini untuk kesembuhan,” tulis Ahmad Fedtri yang telah bersahabat dengan Akbar selama lebih 20 tahun.

Fedtri turut mengenang momen istimewa ketika beliau menjadi pengacara majlis perkahwinan pasangan itu serta menitipkan doa agar Allah mengampuni dosa arwah dan mengurniakan ketabahan buat anak-anak serta keluarga yang ditinggalkan.

Sementara itu, Akbar turut memuat naik satu hantaran ringkas di Insta Story beliau sejurus pemergian isterinya dengan lafaz “Innalillahi wainna ilaihirojiun” sebagai tanda redha dan pasrah terhadap takdir Ilahi.

Noorsuzilawati sebelum ini disahkan menghidap kanser usus tahap 4 pada tahun 2020 dan penyakit tersebut telah merebak ke bahagian lain seperti hati, paru-paru, dan ovari.

Untuk makluman, Akbar kini bertugas sebagai pengacara sukan di saluran Astro Arena dan mengendalikan program Scoreboard bersama Ahmad Fedtri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button