
Isteri Ali XPDC meninggal dunia petang tadi
PUTRAJAYA – Isteri kepada penyanyi, Ali XPDC iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, meninggal dunia akibat kanser payudara di Hospital Putrajaya, petang tadi.
Rakan baik Ali iaitu Fuad Syahrin berkata, dia menerima perkhabaran berita sedih itu daripada Ali sendiri, lapor HM Online.
“Saya dalam perjalanan ke hospital untuk menziarahi isteri Ali tetapi dia pula hubungi saya dan beritahu isterinya sudah meninggal dunia di wad.
“Ali beritahu dalam keadaan yang sangat sedih dan saya berusaha untuk menenangkannya kerana ia sudah ketentuan Allah.
“Ali dan anak-anaknya juga sudah berada di hospital untuk menguruskan jenazah isterinya itu,” katanya.
Menurut Fuad, jenazah Sharifah Azuwanna akan disolatkan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi selepas solat Isyak.
“Jenazah masih lagi di hospital. Selepas semua urusan di hospital selesai, jenazah isteri Ali akan disolatkan di masjid dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi malam ini,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah sejak 24 Mac lalu, manakala Allahyarhamah Sharifah Azuwanna pula dirawat di Hospital Putrajaya kerana kanser payudara.
Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








