LUAR NEGARA

Israel lulus rang undang-undang kontroversi hukuman mati sasar rakyat Palestin

TEL AVIV – Parlimen Israel, Knesset, telah meluluskan satu rang undang-undang kontroversi berat sebelah yang akan mengarahkan mahkamah tentera untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang disabitkan membunuh rakyat Israel dalam tindakan yang dilabel sebagai “keganasan”.

Namun undang-undang itu tidak mengenakan hukuman yang sama ke atas warga Yahudi Israel yang disabitkan membunuh rakyat Palestin.

Memetik laporan Al-Jazeera, undang-undang itu, yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari diluluskan pada Isnin di dewan 120 kerusi Knesset dengan sokongan 62 ahli parlimen, termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, manakala 48 mengundi menentang dan seorang berkecuali.

Kelulusan ini dilihat sebagai kemenangan besar bagi golongan sayap kanan Israel, dengan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir yang mendesak pelaksanaannya sebagai salah satu syarat utama dalam perjanjian gabungan parti Otzma Yehudit (Kuasa Yahudi) dengan Netanyahu.

Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “jenayah perang terhadap rakyat Palestin”, dengan menyatakan ia melanggar Konvensyen Geneva Keempat, khususnya perlindungan yang dijamin kepada individu serta jaminan perbicaraan yang adil.

Undang-undang baharu ini, yang diperkenalkan ketika serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza masih berterusan, mengarahkan mahkamah tentera yang hanya membicarakan rakyat Palestin di Tebing Barat yang bukan warganegara Israel untuk menjatuhkan hukuman berat tersebut bagi serangan maut terhadap rakyat Israel.

Kumpulan hak asasi manusia B’Tselem sebelum ini menyatakan bahawa kadar sabitan terhadap rakyat Palestin di mahkamah tentera adalah sekitar 96 peratus.

“Dalam banyak kes, sabitan ini berdasarkan ‘pengakuan’ yang diperoleh melalui tekanan dan penyeksaan semasa soal siasat,” katanya dalam satu hantaran di platform X pada Ahad.

Menurut kumpulan itu, undang-undang itu dirangka sedemikian rupa sehingga hanya menyasarkan rakyat Palestin dan akan menjadikan pembunuhan terhadap rakyat Palestin sebagai satu alat hukuman yang diterima dan lazim melalui beberapa mekanisme.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button