JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Peguam gesa hormati pakar patologi

KOTA KINABALU – Peguam keluarga kepada arwah Zara Qairina Mahathir menegaskan semua pihak perlu menghormati kepakaran Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu @ Jessie Dorey Hiu Chen Chen, yang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu itu.

Peguam Hamid Ismail berkata, tindakan menghina atau merendah-rendahkan saksi pakar tidak membawa sebarang manfaat.

“Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan merendah-rendahkan kepakaran beliau tidak memberi sebarang kebaikan kepada sesiapa pun.

“Kami akan menyoal beliau lagi pada minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada prosiding yang lalu, Dr Hiu memberitahu mahkamah bahawa kecederaan yang dialami Zara Qairina adalah konsisten dengan kes jatuh dari tempat tinggi, namun bukan akibat ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba.

Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian di Asrama Qurratua’yun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut, beliau menjelaskan adalah tidak mungkin mangsa jatuh secara tidak sengaja dari kedudukan berdiri di koridor.

Katanya, terdapat kemungkinan mangsa memanjat pagar konkrit sebelum terjatuh.

Beliau turut menegaskan kecederaan pada tubuh pelajar berusia 13 tahun itu tidak sepadan dengan penderaan fizikal berpanjangan atau serangan.

Rekonstruksi menunjukkan mangsa jatuh ke belakang selepas mendarat dengan kaki kiri terlebih dahulu sebelum mengalami kecederaan serius pada tumit dan tulang kaki kiri.

Inkues tersebut turut mendedahkan sebanyak 172 keping gambar bedah siasat yang dijalankan selepas kubur mangsa digali semula.

Terdahulu, Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai lalu dalam keadaan kritikal akibat kecederaan otak parah sebelum meninggal dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button