BERITA SEMASALUAR NEGARA

Imej satelit ISS pamer keunikan Sungai Kelantan dari angkasa

KUALA LUMPUR – Bentuk muka bumi Malaysia mencuri tumpuan apabila Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berkongsi imej Sungai Kelantan yang dirakam dari angkasa menonjolkan keindahan dan sistem hidrologi yang kompleks.

Hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi ISS itu turut memaparkan kepelbagaian hidrosfera bumi di tiga lokasi lain iaitu beting pasir di Bahamas, perairan kaya biologi di Teluk California serta Tasik Pyramid di Nevada, Amerika Syarikat.

Imej Satelit ISS
Tangkap layar hantaran di Facebook ISS mengenai perkongsian imej satelit aliran sungai di Kelantan bersama tiga lokasi lain yang memiliki sistem hidrologi yang kompleks. – Foto Facebook ISS

Ia merupakan sebahagian daripada usaha memperlihatkan dinamika bentuk muka bumi global.

Dalam siri imej tersebut, rakaman Sungai Kelantan menjadi antara yang mencuri perhatian apabila jelas menunjukkan aliran sungai utama Pantai Timur itu merentasi dataran banjir paling padat penduduk di Malaysia sebelum mengalir ke Laut China Selatan.

“Di tebing timurnya, tempat sungai bertemu dengan laut terletaknya Kota Bharu, sebuah bandar yang diasaskan pada akhir abad ke-19 dan didiami kira-kira 570,000 orang.

“Gambar ini diambil dari Stesen Angkasa Antarabangsa ketika ia mengorbit 260 batu di atas Bumi,” demikian menurut hantaran tersebut.

ISS memaklumkan, imej yang direkodkan pada 2 Oktober 2025 itu menonjolkan proses semula jadi yang membentuk rupa bumi seperti pola aliran air, pemendapan sedimen dan perubahan landskap.

Ia merupakan maklumat penting yang sering digunakan dalam kajian geografi, perubahan iklim serta pemantauan ekologi.

Sungai Kelantan yang berperanan sebagai nadi sosioekonomi negeri tersebut sering menjadi fokus kajian kerana strukturnya yang kompleks dan kawasan sekitarnya yang sensitif terhadap perubahan cuaca terutama ketika musim tengkujuh.

Sehingga kini, hantaran itu telah menerima lebih 1,000 tanda suka, selain dikongsikan ratusan pengguna yang terpesona dengan sudut pandang baharu terhadap landskap Malaysia dari ruang angkasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button