BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Jualan ikan RM5 sekilo jadi tumpuan di Kedai Ikan Masin Sekinchan

SUNGAI BESAR – Program Jualan Ikan Harga Patut di Kedai Ikan Masin Sekinchan, di sini, menjadi tumpuan orang ramai apabila sebanyak dua tan ikan segar ditawarkan pada harga runtuh, iaitu RM5 sekilogram.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, jualan membabitkan pelbagai jenis ikan itu diadakan sempena pembukaan kedai ikan masin, yang turut menampilkan produk dihasilkan nelayan tempatan.

“Kita ada pelbagai jenis ikan hari ini, RM5 sekilo. Ikannya segar, besar dan cantik. Program ini diadakan sempena pembukaan kedai ikan masin Sekinchan,” katanya.

Beliau menjelaskan, program berkenaan turut digerakkan bersama Jualan Ehsan Rahmah dan akan diteruskan setiap Sabtu bagi memastikan penduduk mendapat bekalan ikan pada harga berpatutan.

“Insya-Allah, program jualan ini kita buat seminggu sekali, setiap hari Sabtu. Kedai pula dibuka setiap hari. Program jualan ikan RM5 ini bermula pukul 8 pagi sampai habis,” katanya.

Ikan
Program Jualan Ikan Harga Patut di Kedai Ikan Masin Sekinchan diadakan pada setiap Sabtu.

Menurut Jamal, selain dua tan ikan yang dibawa hari ini, orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai jenis ikan lain yang turut dijual di lokasi sama.

Sementara itu, rata-rata pengunjung menyambut baik usaha tersebut, termasuk
Noraini Hashim, 43, yang menyifatkan program seperti itu amat membantu terutama ketika kos barangan basah semakin meningkat.

“RM5 sekilo memang sangat berbaloi. Ikan pun segar. Saya datang awal, dan memang ramai orang. Harap program macam ini diteruskan selalu,” katanya.

Bagi Mohamad Fadzil Rahman, 31, inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban keluarga malah memberi peluang kepada penduduk membeli dalam kuantiti lebih besar.

“Biasanya harga ikan tinggi di pasar. Bila ada jualan macam ini, kita dapat beli banyak untuk simpan. Lagi pula kualitinya bagus, bukan ikan lama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button