Ibu Zayn Rayyan dakwa polis paksa dia mengaku bunuh anaknya
PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan mendakwa dia dipaksa membuat pengakuan membunuh anaknya sewaktu ditahan reman.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata demikian sewaktu memberikan keterangan dalam prosiding pembelaan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Dia berkata, pihak polis tidak berpuas hati dengan keterangannya sepanjang ditahan walaupun telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang 13 hari siasatan dijalankan.
“Mereka menuduh saya mengarang cerita dan perkara yang saya tidak lakukan. Mereka reka cerita bahawa saya sebenarnya telah menjumpai anak saya, lalu saya yang membunuh anak saya sendiri.
BACA JUGA:
Abai Zayn Rayyan: Ibu diperintah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan
Ibu Zayn Rayyan beritahu mahkamah dia dalam fasa penafian ketika anaknya ditemukan tidak bernyawa
“Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati,” katanya.
Ismanira menambah, proses soal siasat ke atasnya dijalankan di sebuah banglo yang digelar ‘safe house’ yang terletak di sini.
Berhubung dakwaan pengabaian, Ismanira memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak pernah mengabaikan anak lelakinya yang berusia enam tahun itu.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usianya. Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan ketika dia berada di sekolah sahaja.
“Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa dan saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti dalam pertuduhan.
“Saya benar-benar hilang anak pada hari tersebut dan bukan saya sengaja mengabaikan,” katanya sebak.
Prosiding ditangguhkan pada tengah hari dan bersambung semula pada sebelah petang.
Selain Ismanira, empat lagi individu termasuk suaminya yang juga bapa kepada Zayn, Zaim Ikhwan Zahari, akan tampil sebagai saksi pembelaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







