
Hormati kesedihan rakyat Palestin, Majlis Ulama gesa konsert Coldplay dibatalkan
KUALA LUMPUR – Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengecam dengan keras penganjuran konsert Coldplay yang bakal dianjurkan pada minggu depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menurut Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim, penganjuran konsert yang dibawa khas dari luar ini tidak wajar selepas terpalit dengan tohmahan menyokong arus songsang LGBT dan pada masa berlaku pembunuhan ribuan nyawa di Gaza.
“Pembunuhan ini telah meragut ribuan nyawa umat Islam, adalah sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam.
“MUIS meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert ini, dan MUIS mengingatkan bahawa kelalaian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Mufti Perak.
Dalam pada itu Zamri yang juga Timbalan Mufti Perak berkata, pihaknya juga meminta agar pihak berwajib membatalkan konsert ini, bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang.
“MUIS menggesa semua pihak agar tidak berlepas diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara seislam di Palestin, melalui semua aspek terutamanya doa, sumbangan dan sebaran keprihatinan kepada seluruh masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








