HIV : NGO Kelantan sedia jumpa kerajaan negeri, polis perjelas isu program kesihatan
KOTA BHARU – Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (Sahabat) telah menghantar surat permohonan rasmi kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan bagi mengadakan pertemuan susulan kontroversi penganjuran program pencegahan HIV baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Sahabat memaklumkan sesi pertemuan tersebut bertujuan menjernihkan kekeliruan yang timbul dan memperjelas matlamat sebenar program yang dirancang.
Menurut kenyataan itu, Sahabat menghargai keterbukaan Dr. Mohamed Fadzli dan kerajaan negeri dalam memberikan ruang penjelasan secara bersemuka.
“Selain kerajaan negeri, Sahabat turut bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak polis. Kami menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta Majlis AIDS Malaysia.
“Pertemuan itu penting dalam membina persefahaman dan sokongan berterusan demi kesejahteraan komuniti yang terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri sedia mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat berhubung satu pertemuan dipercayai komuniti LGBT di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa.
Dr. Mohamed Fadzli turut menyatakan keperluan kerjasama dengan pihak polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan mengelakkan salah faham berpanjangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan perjumpaan yang berlaku tidak melibatkan sebarang badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), KKM atau klinik kesihatan.
Menurutnya, tiada maklumat menunjukkan program berkenaan mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana agensi berautoriti.
“Tindakan yang diambil pihak polis adalah berdasarkan maklumat risikan dan bukti yang sah. Ia dilaksanakan tanpa sebarang niat untuk mendiskriminasi mana-mana pihak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








