SUKAN

Harimau Malaya teliti tindakan undang-undang susulan hukuman AFC

KUALA LUMPUR – Pengurusan Harimau Malaya sedang meneliti saluran perundangan berhubung hukuman yang dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia terhadap skuad kebangsaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Rob Friend berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, namun dalam masa sama sedang menilai langkah sewajarnya dari sudut perundangan.

“Kami menghormati proses peraturan pertandingan, namun perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah untuk terus menyokong pemain dan barisan kejurulatihan agar kekal fokus serta berada dalam keadaan terbaik.

Tambahnya, pasukan tetap memberi tumpuan penuh terhadap aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam national football team pada 31 Mac ini.

“Kami akan terus beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin seperti yang ditunjukkan sepanjang tahun 2025,” katanya lagi.

Terdahulu, AFC membatalkan keputusan dua perlawanan kelayakan membabitkan Malaysia menentang Nepal dan Vietnam susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia dikenakan kekalahan 3-0 bagi kedua-dua perlawanan serta dipotong enam mata.

Akibatnya, Malaysia yang kini mengumpul sembilan mata jatuh ke tangga kedua Kumpulan F, sekali gus menyaksikan slot ke pusingan akhir menjadi milik Vietnam yang mengungguli kumpulan dengan 15 mata.

Dalam kenyataan sama, Rob Friend turut merakamkan penghargaan kepada penyokong atas sokongan berterusan terhadap skuad kebangsaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button