BERITA SEMASA

Hannah Yeoh serah tugas Menteri Belia dan Sukan kepada Dr Mohammed Taufiq

BANGKOK – Majlis serah tugas Menteri Belia dan Sukan berlangsung hari ini bersempena Temasya Sukan SEA ke-33 di sini, melibatkan penyerahan secara rasmi daripada Hannah Yeoh kepada penggantinya, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Majlis berkenaan menandakan peralihan kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan pengumuman rombakan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Disember lalu.

Dalam ucapannya, Hannah merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KBS, agensi di bawah kementerian serta semua pemegang taruh atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian itu.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Dr Mohammed Taufiq untuk meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan negara, khususnya dalam memastikan kesinambungan dasar serta program sedia ada.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menzahirkan komitmen untuk meneruskan pelaksanaan dasar dan inisiatif kementerian dengan memberi tumpuan kepada kebajikan atlet, sokongan kepada kontinjen Malaysia yang sedang beraksi di temasya berkenaan, selain memperkasa pembangunan belia secara menyeluruh.

Hannah Yeoh kini memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Majlis serah tugas itu turut disaksikan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu, barisan pengurusan tertinggi kementerian, Presiden Majlis Olimpik Malaysia serta wakil kontinjen Malaysia yang berada di Bangkok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button