POLITIK

Hamzah kini ‘musuh’ PN – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memuncak apabila Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz secara terbuka mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin kini bukan lagi rakan parti, sebaliknya telah menjadi ‘musuh’ kepada BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

Tun Faisal berkata, kenyataan Hamzah pada 14 Februari lalu yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan pendirian sebenar bekas timbalan presiden parti itu.

“Ketika beliau membuat kenyataan tersebut, Muhyiddin masih Pengerusi PN. Maka, tindakan menyerang presiden parti komponen PN dan menggerakkan propaganda terhadap Bersatu secara langsung menjejaskan PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau turut mendakwa penyokong Hamzah yang digelar sebagai ‘geng SD’ kini giat menyerang BERSATU di seluruh negara walaupun parti itu merupakan komponen utama dalam gabungan pembangkang berkenaan.

Ahad lalu, Hamzah bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokongnya termasuk 13 wakil rakyat, menyatakan mereka masih bersama BERSATU serta menyuarakan sokongan kepada PN susulan pelantikan pengerusi baharu gabungan itu.

Kesemua 19 Ahli Parlimen berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden PAS, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikannya sebagai Pengerusi PN dan berikrar memberi sokongan penuh kepada beliau untuk memimpin gabungan tersebut.

Hamzah dan tiga Ahli Parlimen Bersatu dipecat pada 13 Februari lalu dalam kemuncak konflik kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Mereka dilaporkan bakal mengambil alih sebuah parti politik lain dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Tun Faisal mempertahankan pendiriannya sebelum ini yang menggesa Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat serta dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Beliau menegaskan gesaan itu dibuat berdasarkan hujah dan fakta, bukan membabitkan ahli dalam gabungan PN.

“Ia adalah berkenaan ‘pihak luar’, ‘musuh’ dan bukan ‘kawan sendiri’,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Syahir Sulaiman menasihati Tun Faisal agar ‘berpuasa’ daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan hubungan dalam PN.

Menurut Syahir, isu berkaitan kedudukan tempat duduk dan jawatan dalam Parlimen sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan dalaman antara parti komponen, bukan diperdebatkan secara terbuka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button