JENAYAH & MAHKAMAH

Guru mengaku tidak bersalah, didakwa cuai sebabkan kematian pelajar

KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dan membahayakan nyawa seorang lagi dalam kejadian di sebuah sekolah, enam bulan lalu.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa di sini, kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 12 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara cuai melanggar Zara Akhtar Zamzuri, 13, menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V sehingga membahayakan nyawa mangsa di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhari.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Muhammad Hasif memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya seorang guru berdisiplin, tinggal di Kota Bharu dan akan memberikan kerjasama sepanjang prosiding.

Menurutnya, tertuduh tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan serta pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali.

“Selain itu, anak guam saya juga merupakan penerima anugerah guru personaliti terbaik di sekolah tersebut pada tahun lalu dan akan bersara pada 16 November tahun depan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan seorang bapa luluh hati apabila melihat anak perempuannya terbujur tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah SUV Honda HR-V di kawasan SMK Tanjung Mas pada 12 April lalu.

Dalam kejadian itu, Nur Fatimatul Hawa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala Zara Akhtar mengalami kecederaan parah pada badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati pemandu SUV berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar kedua-dua pelajar perempuan yang sedang memakai kasut di hadapan surau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button