LUAR NEGARA

Greta Thunberg, 11 lagi aktivis mulakan pelayaran ke Gaza

SICILY – Aktivis iklim, Greta Thunberg bersama 11 aktivis lain sudah memulakan pelayaran ke Tebing Gaza bagi “memecahkan kepungan Israel” terhadap wilayah itu, semalam.

Kapal layar Madleen, yang dikendalikan kumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition, berlepas dari pelabuhan Catania di selatan Itali, semalam, lapor The Guardian.

madleen
Kapal layar Madleen yang dinamakan sempena nelayan wanita pertama Gaza. – GAMBAR IHSAN FREEDOM FLOTILLA

Kapal layar berkenaan akan cuba tiba di perairan Gaza bagi menghantar sedikit bantuan kemanusiaan serta meningkatkan “kesedaran antarabangsa” mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlanjutan di sana.

“Kami melakukan ini kerana walau apa pun halangan yang kami hadapi, kami tetap perlu berusaha.

“Kerana, saat kita berhenti berusaha, ketika itulah kita kehilangan nilai kemanusiaan kita. Dan walaupun misi ini berisiko, ia masih tidak setanding dengan bahaya diamnya seluruh dunia terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang disiarkan secara langsung,” kata Thunberg sambil menangis sewaktu berucap sebelum menaiki kapal berkenan.

Antara aktivis lain yang menyertai kru kapal berkenaan termasuk pelakon Game of Thrones, Liam Cunningham dan Rima Hassan, seorang ahli Parlimen Eropah dari Perancis yang berketurunan Palestin.

Rima sebelum ini dihalang daripada memasuki Israel kerana secara aktif menentang serangan Israel terhadap Gaza.

Pelayaran itu dijangka mengambil masa selama tujuh hari untuk tiba di destinasi, dengan syarat tidak dihalang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button