Platform OrphanSociety bantu anak yatim Gaza cari keluarga angkat
KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 anak yatim di Gaza kini berpeluang mendapat keluarga angkat melalui pelancaran platform OrphanSociety oleh Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Global (Ensany Global).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamal Aljeffri Albukhari berkata, platform pertama seumpamanya di Malaysia itu membolehkan masyarakat tempatan memilih untuk mengambil anak angkat dalam kalangan kanak-kanak yatim berusia tiga hingga 17 tahun.
Beliau menjelaskan, anak angkat berkenaan tidak akan dibawa ke negara ini, sebaliknya mereka yang mengambil mereka sebagai anak angkat boleh menyalurkan derma atau bantuan terus ke Gaza.
“Akan tetapi, anak angkat tersebut tidak dibawa ke sini (Malaysia), bagaimanapun individu yang menjadikan mereka anak angkat ini boleh terus menyalurkan bantuan atau derma kepada mereka di Gaza.
“Bantuan boleh dibuat sama ada secara bulanan, suku tahunan, tahunan ataupun sekali gus (one off).
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana OrphanSociety adalah sistem yang telus, mesra pengguna dan dihubungkan terus dengan penjaga atau saudara mara atau pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga anak-anak yatim di Gaza,” katanya.

Menurut Kamal Aljeffri lagi, dana yang dikumpulkan bukan sahaja untuk menyediakan makanan dan minuman, tetapi turut menampung keperluan lain termasuk pendidikan serta rawatan kesihatan.
Malah, beliau berkata keluarga angkat di Malaysia juga berpeluang berhubung secara langsung melalui panggilan video dengan anak angkat mereka di Gaza pada bila-bila masa.
Berdasarkan anggaran, seorang anak yatim di Gaza memerlukan sekurang-kurangnya AS$100 (RM422) sebulan untuk menampung kos sara hidup.
“Mungkin ada yang tinggal dengan nenek atau saudara mara yang lain, jadi bantuan ini bukan sahaja digunakan oleh anak yatim tersebut tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.
“Untuk makluman semua, harga makanan di Gaza ketika ini terlalu mahal sehinggakan sebiji telur mampu mencecah sehingga AS$5 (kira-kira RM21) dan bawang pula sekitar AS$20 (RM84),” katanya.
Beliau menambah, jumlah anak yatim yang boleh diambil sebagai anak angkat juga akan ditingkatkan sekiranya sambutan terhadap program itu menggalakkan.
Selain Malaysia, kempen itu turut dibuka kepada masyarakat antarabangsa di 73 negara lain yang berminat menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








