Go Skate Day 2026: Putrajaya Bowl O Rama himpunkan komuniti papan selaju 21 Jun ini
PUTRAJAYA – Komuniti papan selaju tempatan dijangka berkumpul di Putrajaya sempena sambutan Go Skate Day 2026 menerusi penganjuran pertandingan Putrajaya Bowl O Rama, yang akan berlangsung pada 21 Jun ini.

Program yang dianjurkan bersempena sambutan tahunan Go Skate Day itu bakal berlangsung di fasiliti skate park Putrajaya bermula jam 10 pagi dengan sesi pendaftaran dan latihan peserta sebelum pertandingan utama bermula pada jam 4 petang.
Penganjur memaklumkan, kejohanan tersebut dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Bowl Junior Bawah 17 Tahun dan Bowl Terbuka, selain turut menampilkan acara sampingan seperti Skate Race, Trick For Cash dan Slam of the Day.

Bagi kategori Bowl Junior Bawah 17 Tahun, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM400, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM200 dan RM100.
Sementara itu, kategori Bowl Terbuka menawarkan hadiah lebih lumayan dengan juara menerima RM500, diikuti RM300 untuk naib juara dan RM200 bagi pemenang tempat ketiga.
Menurut penganjur, kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan papan selaju, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti skateboard dari seluruh negara.
Lebih menarik, acara itu turut dijangka dimeriahkan dengan kehadiran beberapa figura dan legenda papan selaju tempatan termasuk Pa Din Musa, selain beberapa nama berpengaruh lain dalam komuniti skateboard Malaysia yang akan hadir bagi memberi sokongan kepada peserta serta berkongsi pengalaman dengan generasi baharu atlet sukan ekstrem itu.
Selain pertandingan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai aksi menarik serta demonstrasi kemahiran daripada pemain berpengalaman dalam suasana santai dan mesra keluarga.
Penganjuran Putrajaya Bowl O Rama mendapat kerjasama beberapa agensi termasuk Perbadanan Putrajaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Rakan Muda dan Persatuan Skateboarding Putrajaya (PISA), selain sokongan pelbagai penaja komuniti sukan ekstrem.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan boleh mendapatkan maklumat lanjut serta syarat penyertaan menerusi kod QR yang disediakan oleh pihak penganjur.
Sambutan Go Skate Day diraikan setiap tahun di seluruh dunia bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan papan selaju, selain mengiktiraf budaya dan perkembangan komuniti skateboard yang semakin berkembang, khususnya dalam kalangan golongan muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








