GARAH: Zamri Vinoth seru hasutan patuhi undang-undang
KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan penahanan, perjuangan menuntut tindakan terhadap pembinaan rumah ibadat haram tetap akan diteruskan, tegas aktivis Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth, sejurus dibebaskan daripada tahanan polis, hari ini.
Dalam satu sidang media, Zamri menyeru orang ramai supaya terus melakukan perubahan secara bersama dengan menekankan kepatuhan terhadap undang-undang negara.
“Mari kita sama-sama lakukan perubahan kepada negara dan sama-sama kita menghasut rakyat untuk supaya mengikuti undang-undang,” katanya selepas direman selama dua hari.
Menurut beliau, GARAH akan mengeluarkan kenyataan bersama dalam masa terdekat melibatkan peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjelaskan pendirian serta hala tuju perjuangan gerakan itu.
“Kami baru keluar selepas dua hari direman dan memerlukan sedikit masa untuk mengikuti perkembangan semasa. Walau apa pun yang berlaku, perjuangan harus diteruskan. Saya juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke lokasi GARAH kerana telah ditahan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi aktivis yang dibebaskan, Tamim Dahari berkata, pengalaman direman memberikan perspektif baharu kepadanya meskipun beliau sebelum ini tidak pernah terlibat secara langsung dalam mana-mana perhimpunan.
“Saya biasanya bergerak di belakang tabir, namun selepas apa yang saya lakukan mendapat liputan, saya secara sukarela menyertai himpunan ini. Namun saya ditahan sebelum sempat sampai ke lokasi,” katanya.
Menurut Tamim, tempoh reman itu mengajarnya bahawa seseorang akan lebih memahami dan mendalami perjuangan yang dibawa apabila berdepan ujian.
“Dalam dua hari direman, saya banyak belajar. Seseorang itu akan lebih mendalami perjuangan mereka ketika diuji,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk Zamri dan Tamim berhampiran Kompleks Membeli-Belah Sogo, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pemakluman mengenai penganjuran himpunan berkenaan daripada pihak penganjur yang terdiri daripada Gabungan Pendakwah Bebas dan beberapa NGO Islam.
Menurut beliau, polis mengesan kira-kira 100 peserta berhimpun bagi mendesak tindakan diambil terhadap pencerobohan pembinaan kuil atau rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.
Fadil menegaskan, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut keselamatan dan ketenteraman awam serta melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh isu 3R kerana ia boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








