AGAMABERITA SEMASA

Fenomena Istiwa A’dzam bantu umat Islam semak arah kiblat tepat

KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia berpeluang menyemak semula arah kiblat di kediaman dan premis masing-masing menerusi fenomena Istiwa A’dzam yang berlaku dua kali setahun iaitu pada hari ini dan 16 Julai 2026.

Menerusi infografik dikongsikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (WP), semakan arah kiblat bagi tahun ini boleh dilakukan tepat pada pukul 5.18 petang, hari ini dan 5.27 petang, 16 Julai.

Fenomena itu berlaku apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah sekali gus membolehkan bayang-bayang objek tegak menunjukkan arah kiblat dengan tepat.

Menurut Jabatan Mufti WP, semakan boleh dilakukan sendiri di rumah atau premis masing-masing dengan menggunakan objek tegak dan lurus seperti tiang atau tingkap rumah.

“Bayang-bayang objek tegak yang berlawanan arah menunjukkan arah ke Kaabah (kiblat) ketika Istiwa A’dzam berlaku,” menurut panduan yang dikongsikan menerusi infografik tersebut di Facebook.

Menurutnya lagi, orang ramai perlu memastikan semakan dibuat mengikut waktu yang tepat berdasarkan waktu Malaysia dan boleh merujuk portal rasmi Sistem Waktu Piawai Malaysia di mst.sirim.my.

Fenomena Istiwa A’dzam merupakan kaedah tradisional ilmu falak yang digunakan untuk menentukan arah kiblat berdasarkan kedudukan matahari.

Ia berlaku apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud Mekah, lokasi Kaabah berada.

Pakar falak turut menjelaskan bahawa kaedah ini antara cara paling tepat untuk menyemak arah kiblat kerana ia bersandarkan kedudukan matahari secara langsung dengan Kaabah.

Dalam pada itu, umat Islam disaran mengambil peluang fenomena berkenaan bagi memastikan arah kiblat di rumah atau surau berada dalam kedudukan yang betul demi kesempurnaan ibadah solat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button