Fenomena El Nino: Bomba sedia hadapi musim panas, kering hingga awal tahun depan
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi mendepani risiko bencana berikutan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan sehingga awal 2027.
Menurut kenyataan JBPM, jabatan itu mempertingkat kesiapsiagaan operasi, logistik dan koordinasi antara agensi bagi menjamin keselamatan rakyat serta harta benda susulan ramalan cuaca panas dan kering.
JBPM menegaskan seluruh keanggotaan dan asetnya kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi mendepani risiko kebakaran terbuka, termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut, yang dijangka meningkat sepanjang musim panas dan kering.
“Bagi memastikan tindakan yang tersusun dan respons yang pantas di lapangan, Arahan Persediaan Jabatan Menghadapi Musim Kemarau dan Kebakaran Hutan Gambut Tahun 2026 telah dikeluarkan sebagai mandat rasmi untuk JBPM Negeri melaksanakan langkah-langkah persediaan serta tindakan luar jangka secara menyeluruh,” jelasnya.
Menerusi arahan tersebut, JBPM mempertingkat operasi pemantauan dan tindakan pencegahan melalui rondaan berkala di kawasan titik panas (hotspot) berdasarkan data sejarah kejadian kebakaran.
Pada masa sama, JBPM memastikan infrastruktur kritikal seperti tube well, water check dam, dan menara tinjau (watch tower) berada dalam keadaan optimum bagi menyokong keberkesanan operasi pemadaman sekiranya berlaku insiden.
JBPM turut memperkukuh koordinasi strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan kesiapsiagaan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penyelarasan bersama SWCorp bagi pengurusan risiko kebakaran tapak
pelupusan sampah, penggunaan pam berkapasiti tinggi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Pemeriksaan kefungsian water check dam bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pemantauan kawasan berisiko tinggi bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah proaktif, JBPM bersedia mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya berlaku lonjakan panggilan kecemasan melebihi paras kebiasaan bagi memastikan tindakan operasi diselaraskan dengan lebih berkesan.
Dari aspek logistik, JBPM memastikan seluruh jentera dan peralatan pemadaman berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, termasuk penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta pengukuhan pelan komunikasi operasi menerusi sistem Government Integrated Radio Network (GIRN).
JBPM turut memperkukuh pemantauan indikator titik panas dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan awam yang optimum, dengan memanfaatkan platform digital daripada MySA, JAS, aplikasi myCuaca serta sistem FDRS milik MET Malaysia.
JBPM turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan sumber air secara berhemah, mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, serta segera menyalurkan laporan kebakaran ke talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








