Fadhlina ucap takziah pada keluarga Cikgu Din
KUALA LUMPUR – Menterian Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian isteri Cikgu Mohammad Izzudin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.
Fadhlina dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, menulis:
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke Rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah binti My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar (Cikgu Din) dari SJK(C) Ming Wok di Kanowit, Sarawak.
“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah. Al-Fatihah.”
Status tersebut dibanjiri komen pengguna media sosial yang turut mendoakan kesejahteraan arwah isteri Cikgu Din.
“Terima kasih KPM kerana membenarkan Cikgu Din berada di sisi isterinya,” komen Abdul Muiez.
Sebelum ini, kisah Cikgu Din tular di media sosial pada Oktober lalu apabila beliau berkongsi kesukaran tidak dapat bertukar ke Semenanjung Malaysia untuk menemani isterinya yang berjuang melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Kisah beliau turut dikongsikan pempengaruh yang juga bekas pendidik, Cikgu Fadli Salleh di laman Facebooknya.
Ketika itu, Cikgu Din sanggup berulang-alik dari Kanowit, Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan dua kali sebulan semata-mata untuk menziarahi arwah isterinya.
Berikutan kisah tular itu, Cikgu Din akhirnya ditempatkan di sebuah sekolah berhampiran isterinya buat sementara Waktu hasil perbincangan antara KPM dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








