Empat warga China didakwa culik lelaki Singapura
BALIK PULAU – Empat warga China, termasuk seorang wanita, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura bagi mendapatkan wang tebusan SG$1 juta, Julai lalu.
Guan Siqi, 24, Wang Huo Yu, 33, Huang Jian, 39, dan Liu Tingjun, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua individu yang masih bebas serta dua yang telah meninggal dunia didakwa menculik dan melarikan Quek Aik Teng, 72, kira-kira jam 4.15 petang, 26 Julai lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.
Pendakwaan tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan itu serius dan mengambil kira kepentingan awam. Pihak Imigresen juga sedang membuat semakan pasport kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela memohon jaminan atas alasan anak guam mereka memberi kerjasama kepada polis, tiada rekod jenayah serta bersedia menyerahkan pasport dan melaporkan diri kepada pihak berkuasa.
Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan 15 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan polis membongkar sindiket penculikan antarabangsa yang menyasarkan warga asing melalui aplikasi temu janji dan tawaran kerja palsu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








