LUAR NEGARA

Elon Musk manusia paling kaya dalam sejarah, nilai harta cecah AS$839 bilion

NEW YORK – Nilai kekayaan bersih Elon Musk dianggarkan mencecah AS$839 bilion (RM3.3 trilion), sekali gus menjadikannya individu paling kaya pernah direkodkan dalam sejarah, menurut senarai Indeks Bilionair yang dikeluarkan oleh Forbes.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu turut mengekalkan kedudukan teratas dalam senarai berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut selepas kekayaannya meningkat kira-kira AS$500 bilion (RM1.96 trilion) sepanjang 12 bulan lalu.

Lonjakan tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan penilaian kedua-dua syarikat berkenaan.

Dengan jumlah kekayaan itu, Musk menjadi individu pertama di dunia yang melepasi nilai bersih AS$800 bilion (RM3.1 trilion) dan berpotensi muncul sebagai trilionair pertama di dunia.

Peningkatan kekayaan itu berlaku meskipun 2025 menyaksikan tempoh mencabar buat Tesla apabila harga sahamnya merosot susulan boikot pengguna terhadap sokongan Musk kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta beberapa tokoh politik sayap kanan lain.

Bagaimanapun, saham Tesla kembali pulih pada separuh kedua 2025 selepas Musk meletakkan jawatan dalam pentadbiran Trump.

Penyokong Tesla percaya syarikat itu masih mempunyai potensi pertumbuhan besar berikutan akses Musk kepada teknologi pemanduan autonomi dan kecerdasan buatan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemegang saham Tesla turut meluluskan pakej gaji yang boleh mencecah sehingga AS$1 trilion (RM3.9 trilion) sekiranya sasaran pengeluaran dan penilaian syarikat dicapai, sekali gus meningkatkan pegangan Musk kepada kira-kira 25 peratus dalam syarikat itu.

Musk sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau mungkin meninggalkan Tesla sekiranya pakej tersebut tidak diluluskan kerana mahu memiliki pegangan yang mencukupi bagi mempunyai ‘pengaruh kuat’ dalam pembangunan teknologi robotik pada masa depan.

Beliau juga dilaporkan menyatakan bahawa kurang daripada 0.1 peratus kekayaannya berada dalam bentuk tunai.

Sementara itu, pakar dari University of Maryland, David Kirsch berkata, anggaran kekayaan Musk masih bersifat spekulatif kerana sebahagian besar nilainya bergantung kepada pegangan ekuiti yang dipengaruhi jangkaan pertumbuhan masa depan.

Menurut Forbes, kekayaan Musk kini lebih tiga kali ganda berbanding individu kedua terkaya dalam senarai tersebut, yang turut mencatatkan rekod baharu sebanyak 3,428 bilionair di seluruh dunia, kebanyakannya daripada sektor teknologi.

Pengasas bersama Google, Larry Page dan Sergey Brin masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga dengan kekayaan AS$257 bilion (RM1.01 trilion) dan AS$237 bilion (RM933 bilion).

Di tempat keempat ialah pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan kekayaan AS$224 bilion (RM882 trilion), diikuti pengasas Meta, Mark Zuckerberg di tangga kelima dengan AS$222 bilion (RM874 trilion).

Sementara itu, Trump turut mencatat peningkatan kedudukan kepada tangga ke-645 daripada 700 tahun lalu dengan kekayaan dianggarkan AS$6.5 bilion (RM25.6 bilion), didorong oleh pelaburan dalam mata wang kripto serta pembatalan penalti sivil berjumlah AS$518 juta (RM2.03 bilion), menurut Forbes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button