BISNES & EKONOMI

Malaysia kekal peneraju ekonomi Islam paling kukuh dunia 2025 – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai negara dengan ekonomi Islam paling kukuh di dunia bagi tahun 2025 berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan keberkesanan dasar serta pendekatan Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kestabilan ekonomi, tadbir urus yang cekap, keyakinan pelabur dan pembangunan inklusif.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan teratas, sekali gus mengatasi beberapa negara Islam utama lain, turut didorong kekuatan ekosistem kewangan Islam, perkembangan industri halal, inovasi serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Kejayaan tersebut merupakan hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju negara.

“Pencapaian itu membuktikan pendekatan Malaysia MADANI berjaya meletakkan negara di landasan yang kukuh, progresif dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Kor Ming menambah, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan bandar mampan serta kesejahteraan komuniti bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI juga akan terus memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi yang lebih luas serta pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Rakyat Malaysia perlu bersama-sama mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keyakinan terhadap agenda pembangunan negara bagi memastikan Malaysia terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button