Ejen Ali 2 raih RM40.6 juta dalam 13 hari, cipta rekod animasi tempatan
KUALA LUMPUR – Industri kandungan digital negara menunjukkan perkembangan positif apabila filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencatat kutipan lebih RM40.6 juta dalam tempoh hanya 13 hari tayangan.
Pencapaian itu menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini, sekali gus membuktikan potensi besar sektor animasi sebagai pemacu ekonomi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, kejayaan itu mencerminkan kemampuan studio tempatan menghasilkan kandungan bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan ini memperkukuh keyakinan bahawa sektor kandungan digital tempatan mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara, seiring dengan aspirasi menjadi hab kreatif digital serantau menjelang 2030 melalui pelan DICE.
“Komitmen MDEC dalam menyokong pembangunan kandungan melalui pelbagai inisiatif termasuk Geran Kandungan Digital (DCG), promosi serta jaringan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Filem Ejen Ali The Movie 2 merupakan hasil terbitan Wau Animation bersama rakan strategik, Primeworks Studios (PWS), dengan sokongan berterusan daripada MDEC yang bermula sejak peringkat awal pembangunan sehingga pelancaran tayangan.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin menyifatkan kutipan memberangsangkan itu sebagai satu kejayaan bersama industri animasi negara.
“Kami berterima kasih kepada MDEC atas kepercayaan yang diberikan sejak awal lagi. Kejayaan ini adalah milik semua satu pencapaian buat industri, bukan hanya syarikat kami,” katanya.
Bagi melahirkan lebih banyak kandungan animasi berkualiti, MDEC kini membuka permohonan bagi Animated Shorts Challenge yang berlangsung hingga 13 Jun 2025.
Inisiatif itu bertujuan menggalakkan penghasilan harta intelek (IP) baharu yang mampu menyaingi kejayaan jenama tempatan seperti Ejen Ali, Upin & Ipin, BoBoiBoy dan Mechamato.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








