BERITA SEMASAPOLITIK

DUN Johor mungkin dibubar 24 Jun

JOHOR BAHRU – Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hangat diperkatakan apabila timbul dakwaan sidang khas DUN akan diadakan pada 24 Jun ini.

Dakwaan itu mula tersebar menerusi aplikasi WhatsApp hari ini menerusi mesej yang meminta kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersiap sedia menghadiri sidang khas berkenaan.

Perkembangan tersebut hadir sehari selepas Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Onn Hafiz Ghazi

Bagaimanapun, beberapa ADUN kerajaan negeri memaklumkan mereka masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada pejabat jurutulis DUN berhubung sidang khas tersebut.

ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, beliau ada menerima maklumat mengenai sidang khas berkenaan, namun setakat ini tiada arahan rasmi dikeluarkan.

“Saya baru bertemu Onn Hafiz pagi tadi dalam satu program di Tasik Merdeka. Ya, saya ada baca mesej tular mengenai 24 Jun itu, tetapi setakat ini belum ada arahan atau surat rasmi diterima.

“Keadaan di Johor juga baik-baik sahaja selepas Onn Hafiz mengumumkan BN akan bertanding di 56 kerusi DUN semalam,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sementara itu, ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap berkata, beliau bersedia menghadiri sidang khas sekiranya menerima arahan rasmi daripada pihak berkuasa DUN.

“Jika ada arahan rasmi untuk kami hadir bersidang, saya akan hadir dan bersiap sedia. Setakat ini belum ada surat rasmi daripada pejabat jurutulis mengenai sidang khas DUN ini.

“Biasanya kami akan menerima makluman secara bertulis mengenai perkara ini. Selagi belum ada kenyataan rasmi, saya tidak boleh mengesahkan atau menafikannya,” katanya.

Semalam, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN selepas mengambil kira suara serta harapan kepimpinan akar umbi BN dan UMNO Johor.

PRN Johor sebenarnya masih berbaki kira-kira setahun memandangkan mandat kerajaan negeri dijangka tamat pada April 2027.

Tahun lalu, Onn Hafiz turut menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang mengadakan PRN lebih awal kerana mahu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.

Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button