BERITA SEMASA

Dua beranak selamat dalam insiden pokok tumbang

IPOH – Dua beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang akibat angin kencang dalam kejadian petang semalam di Jalan Raja Ashman Shah, berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, insiden berlaku pada pukul 5.51 petang melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun serta anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

“Kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok besar menghalang laluan jalan dan menimpa kenderaan mangsa.

“Anggota bomba segera menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai dan parang bagi membuka laluan serta mengalihkan kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang,” katanya.

Insiden Berasingan: Lima Cedera Akibat Runtuhan Bumbung

Dalam kejadian berasingan pada hari yang sama, lima lelaki cedera selepas bumbung rumah runtuh ketika mereka sedang berteduh daripada hujan lebat di Jalan St John pada jam 5.45 petang.

“Empat mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi disahkan patah tangan. Seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar Sabarodzi.

Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada individu lain tertimbus di bawah runtuhan struktur tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button